Jarum, jarum, jarum. Kenapa aku terlalu taksub dengan benda ini? Sampaikan aku menjadi hamba kepada jarum itu. Isi kandungan yang berada di dalam jarum itu bukanlah sesuatu benda yang benar, tetapi, benda yang bohong! Bagaimana aku boleh terjebak dengan benda keji itu?
Aku merenung jauh ke tingkap luar di dalam bilikku. Rakan-rakanku sedang nyenyak dibuai mimpi, indah atau sebaliknya. Mataku melihat bintang-bintang putih yang bersinar cahaya pada waktu malam sunyi. Aku melihat, melihat dan terus melihat. Fikiranku mengharapkan rohani dan jasmaniku suci dan bersih sama seperti bintang itu, jauh dari perbuatan yang kotor itu.
Dahulu, aku bukanlah anak orang biasa. Aku anak orang ternama. Bapaku ialah seorang CEO di sebuah syarikat gergasi, ibuku ialah seorang pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Setiap hari, ibu bapaku meluangkan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding di rumah. Aku, keseorangan di rumah. Kadang-kala, aku terasa diriku jauh dan sunyi tanpa ada ibu bapa di sampingku.
Lain pula cerita mengenai abangku. Aku tidak tahu apa pekerjaan abangku. Tetapi apa yang pasti, abangku lebih banyak meluangkan masa bersama aku dan selalu memberi duit poket untuk ke sekolah lebih banyak dari ibu bapaku. Aku merasakan aku mendapat perhatian yang lebih oleh abangku daripada kedua-dua orang tuaku.
Aku seorang pelajar cemerlang di sekolah menengah. Aku selalu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, kecil mahupun besar. Tiada masalah rekod disiplin. Aku juga seorang yang benci dadah.
Hari itu, aku tidak akan lupakan kenangan pahitku. Peristiwa buruk telah berlaku ke atas diriku. Peristiwa itu berlaku di rumah aku. Pada hari itu, aku hanya tinggal bersama dengan abangku sahaja. Ibu bapaku sibuk dengan pekerjaan mereka masing-masing. Aku berada di dalam bilik, sedang menyiapkan kerja rumah.
TAP! TAP! TAP! Bunyi ketukan di luar pintu bilikku.
“Masuk.” Pintu dibuka. Aku melihat abangku masuk dengan membawa segelas air.
“Maaf kalau abang ganggu adik.”
“Tak mengapa abang.” Senyum aku.
“Abang ada bawakan air untuk adik, minumlah.” Pelawa abangku sambil meletakkan gelas yang telah diisi dengan air jernih itu di atas mejaku.
“Terima kasih abang.”
Abangku meninggalkan aku keseorangan di dalam bilik. Selepas beberapa jam aku menyiapkan kerja rumah, aku merehatkan tubuh badanku.
“Eh, rasa dahaga pula.” Anak mataku memandang ke arah segelas air yang telah abangku bawakan. Aku mengambil dan minum habis air tersebut.
“Aduh, kenapa aku rasa pening ni?” Tidak berapa lama minit kemudian, kepala aku terasa sangat sakit, pening. Tubuh badanku mula terasa lemah, pandangan mataku mula kabur dan fikiranku mula melayang-layang. Aku terus pengsan tanpa ada arah.
“Adik, adik, bangun.”
Aku membuka mataku dengan perlahan-lahan. Pandanganku mula jelas dan nyata. Aku melihat abangku berada di sampingku. Aku pula sedang terbaring di atas katil di dalam bilikku.
“Aduh, apa dah berlaku abang? Mana mak dengan ayah?” Tanya aku sambil aku mengurut kepalaku.
“Adik tiba-tiba pengsan, nasib baik abang nampak adik. Kalau tak, abang tak sempat nak hantar adik ke hospital. Syukurlah, doktor kata adik cuma pening jer, mungkin adik kuat belajar sangat.” Ujar abang kepada aku.
“Mak dengan ayah tak ada dekat rumah buat beberapa minggu ni sebab atas urusan kerja. Jadi, tinggal abang dengan adik jer la.” Sambung abangku.
“Hari ni hari apa?” Tanya aku.
“ Hari ni hari Selasa, adik tak datang sehari ke sekolah.”
“Alamak!”
“Tak mengapa adik, abang dah beritahu dekat cikgu adik yang adik tak sihat.”
“Terima kasih abang.”
“Sama-sama, sekarang adik ni betul-betul dah sihat ke? Kalau sihat boleh pergi ke sekolah, kalau tak sihat, berehat dekat rumah.”
“Adik betul-betul dah sihat.”
“Bagus, pergi siap cepat. Abang hantarkan adik ke sekolah.”
Abangku keluar dari bilikku. Sebelum abang aku keluar, dia berkata kepada aku. “Abang tunggu dekat luar rumah.” Senyum abangku.
“Ok.” Jawabku. Aku cuba untuk mengingat kembali apakah punca aku pengsan dan terlantar di atas katilku sendiri? Soalan itu bermain di awang-awangan fikiran aku. Aku berasa sungguh pelik.
Tanpa melengahkan masa, aku cepat membersihkan diriku dan memakai baju seragam sekolah. Aku keluar dari bilik dan terus keluar dari rumah. Di luar rumah, aku melihat abangku berjumpa dengan seorang lelaki yang tidak aku kenali selama ini. Kelihatan abangku sedang memberikan sebuah kotak kepada lelaki itu. Lelaki itu pula memberikan wang ringgit kepada abangku. Lelaki itu terus beredar dari situ. Aku menghampiri abangku.
“Siapa tu abang?”
“Pelanggan abang.”
“Abang jual apa.”
“Abang buat perniagaan online. Abang jual ubat-ubatan.”
“Oh.”
“Jom, abang hantar adik.”
“Ok.”
Abang menghantar aku ke sekolah. Di sekolah, aku mempunyai tiga orang kawan yang paling rapat denganku, mereka bertiga ialah Ismail, Adam dan Wahid. Mereka bertiga telah menjadi kawan baikku sejak di bangku sekolah rendah. Kami saling tolong-menolong dan mengambil berat antara satu sama lain. Kami sudah seperti adik-beradik yang utuh.
Selepas habis waktu persekolahan, Adam mengajak kami bertiga pergi ke rumahnya untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Aku bersetuju dan terus pergi ke rumah kawanku itu. Setelah sampai di rumah Adam. Kami bertiga duduk di ruang tamu untuk berehat sebentar.
“Wei korang, aku nak pergi ambil air jus tembikai. Korang nak tak?” Tanya Adam.
“Boleh juga.”
“Bagus, aku tahu korang semua tengah dahaga.”
Selepas satu minit, rakanku itu menghidangkan air jus tembikai kepada kami bertiga. Rasanya sungguh sedap. Biasalah, apabila dahaga, semuanya menjadi sedap.
Selepas beberapa minit, tiba-tiba aku terasa pening. Sama seperti apa yang aku alami dua hari lalu. Tetapi kali ini, bukan aku seorang sahaja yang terasa kepahitan itu, Ismail dan Wahid juga merasai benda yang sama. Adam hilang entah ke mana. Tidak lama kemudian, kami bertiga pengsan. Aku tidak ingat berapa lama aku telah pejamkan mataku tanpa disuruh.
Tetapi apa yang pasti, aku terdengar perbualan dua orang lelaki, aku tidak dapat melihat wajah dua orang lelaki itu kerana mataku masih lagi tertutup.
“Macam mana dengan ubat tu abang?”
“Cuma tahan dua hari jer, tapi masih ok lagi. Boleh buat duit.”
“Ubat ni pula dah tahan lima hari dah. Saya rasa lebih baik kita jual ubat yang ni.”
“Ok.”
Selepas itu, pendengaranku pula hilang. Aku tidak sedarkan diri.
“Hei, hei, bangun.”
“Ha?”
“Suka tak benda tu?”
“Suka! Nak lagi!” Aku tidak tahu kenapa ayat itu keluar dari bibirku. Aku terus mengatakannya tanpa berfikir panjang.
“Bagus, aku pergi ambil lagi.” Lelaki itu beredar dari pandanganku. Pandanganku seperti kabur tidak kabur, jadi aku tidak dapat mengecam wajah lelaki itu tadi. Aku memandang ke kiri dan melihat dua orang remaja lelaki sedang khayal. Sama seperti aku. Aku juga sedang berkhayal.
Tidak lama selepas itu, lelaki itu datang semula kepada aku dan dia mula menyuntik sejenis cecair ke dalam badanku dengan menggunakan picagari. Kekuatan khayal itu semakin kuat memakan diriku, aku tidak dapat mengawal tubuh badanku. Dua orang remaja lelaki itu juga telah disuntik oleh lelaki tersebut.
Seingat aku, aku diberikan tiga suntikan sehari. Aku semakin ketagih dengan benda itu. Kesan tompokan jarum kelihatan pada lengan kiriku. Aku jatuh ke dalam lembah kegelapan. Fikiranku pada waktu itu seperti begini. “Aku nak lagi. Aku nak lagi! Aku nak lagi!!!”
Semakin aku inginkan benda itu, semakin terasa sakit badanku. Tetapi sakit itu dihalang oleh cecair bahaya menyebabkan aku tidak merasai apa-apa kesakitan. Lelaki itu mula menghampiri aku dan berkata. “Inilah balasan kepada orang yang rampas teman wanita aku.”
“Apa?” Aku seperti separuh hidup separuh mati. Aku tidak faham apa yang telah diperkatakan oleh lelaki itu tadi. Lelaki berbadan besar itu pula muncul dan bercakap dengan lelaki berwajah muda itu.
“Macam mana dengan stok dadah tu, dah sampai?”
“Dah sampai.”
“Bagus, malam ni juga kita boleh jual dekat pelanggan tetap kita.”
Tiba-tiba, seorang lelaki datang menyerbu masuk ke dalam rumah dengan bersenjatakan sepucuk pistol. “Polis! Jangan bergerak!” Lima orang lagi datang menyerbu masuk. Dua orang lelaki itu melutut ke lantai sambil kedua-dua belah tangan mereka digari. Aku melihat kejadian itu dalam keadaan separuh sedar.
“Mana dadah, aku nak lagi, aku nak lagi.” Kata aku. Aku seperti orang gila yang ketagih akan dadah. Selepas aku melihat Polis menangkap dua orang lelaki itu. Seorang lelaki dan seorang perempuan masuk melulu ke dalam rumah. Perempuan itu datang melulu ke arahku. “Ya Allah, Aiman!!!” Perempuan itu memeluk tubuhku yang longlai.
“Maafkan mak.” Perempuan itu menitiskan air mata.
“Hei, siapa kau hah!” Jawab aku dalam keadaan separuh sedar.
“Ini mak Aiman. Mak kamu!”
“Aku tak kenal kau!”
Perempuan itu kembali memelukku dengan penuh erat. Aku melihat pula lelaki itu memarahi lelaki berbadan besar yang telah digari oleh pihak polis. “Sanggup kau lakukan benda ni dekat adik kau sendiri Jamil, tergamak kau buat kerja keji ni. Anak tak guna!” Lelaki menampar wajah Jamil.
“Maafkan Jamil ayah.”
“Mana ayah nak letak muka ayah ni. Malu ayah!” Lelaki itu juga menitiskan air mata.
“Kenapa semua sedih, marilah bergembira.” Kata aku yang sedang berkhayal.
“Kau tengok. KAU TENGOK!!! Apa yang kau dah lakukan dekat adik kau. Kau nak adik kau jadi macam ni? Penagih dadah!”
“Tak ayah, tak!”
“Tuan, bawa anak saya ni ke penjara. Saya tak nak tengok muka dia lagi.”
Sekarang, aku berada di pusat pemulihan bersama dengan Ismail dan Wahid, sudah sebulan aku berada di sini. Abangku telah dihukum penjara kerana mengedar dadah. Adam pula dipenjarakan kerana melakukan jenayah terhadap aku, Ismail dan Wahid. Maruah ibu bapaku tercalar kerana perbuatan abangku. Kini, aku memohon kepada Yang Maha Esa supaya dia mengampun segala dosaku, abangku dan ibu bapaku.
No comments:
Post a Comment