Saturday, 20 June 2015

CERPEN - PERMAINAN VIDEO

Aku mengenal komputer semasa umur aku 6 tahun dan aku mengenal permainan video semasa aku berumur 7 tahun. Pinball dan Minesweeper ialah permainan video yang pertama aku main, masa tu komputer bukannya nipis macam zaman sekarang, berat, lebar dan tebal, jenis CRT (Cathode Ray Tube) punya. Masuk umur 8 tahun, aku dah mula main game tape, satu cartridge ada lapan jenis permainan video, lumba kereta, tembak-menembak, bola sepak, fighting, semua ada. 

Umur dari 9 hingga 12 tahun, Diner Dash, Half-Life, Grand Theft Auto, Counter-Strike, Call of Duty dan Battlefield 2 menjadi kegemaran aku pula untuk bermain permainan video itu. Masa tu, era ketagihan pergi ke kafe siber mula merebak dalam kalangan aku dengan kawan aku. Tanpa kafe siber, aku takkan tahu video games yang aku dah nyatakan tadi. Sanggup tak makan kat sekolah semata-mata nak kumpul duit pergi kafe siber. Kenangan.

"Game apa tu Man?"

"Red Alert 3, best, try la beb." 

Kata kawan aku Man. Dia nampak seronok dengan game baru tu. Aku pun cuba video game baru tu, memang rasa lain, tak macam permainan video yang aku main dulu. Game tu memerlukan strategi untuk kita menyerang musuh. Disebabkan kerseronokan, kecenderungan dan minat aku terhadap permainan video. Maka, aku memutuskan cita-cita aku untuk menjadi seorang game designer. Nama aku Damir bin Abdullah, asal Ipoh Perak, umur aku sekarang 46 tahun dan ini kisah liku-liku hidupku dalam menjadi seorang game designer. 

Umurku 13 tahun aku dah mula beralih dari komputer ke konsol iaitu PS2. Konsol PS2 jugalah adalah konsol yang paling banyak dan lama telah dijualkan. Malah CD gamenya juga lebih banyak dari konsol-konsol video games yang lepas. Disebabkan aku dah lama gunakan keyboard dan mouse, maka aku kena biasakan diri dengan controller PS2. Antara games kegemaran aku untuk PS2 ialah SOCOM 3, Brother in Arms 1 dan 2, Black, Killzone, Medal of Honor Frontline dan KillSwitch. Apa yang menariknya, KillSwitch adalah antara game terawal yang mengimplikasikan cover system untuk third-person shooter, game Gears of War pun gunakan cover system macam KillSwitch. 

Untuk grafik yang menarik, mestilah Killzone dan Black. Reka bentuk senjata, jalan cerita dan binaan karakter yang menarik ialah Killzone. Killzone memang best, ceritanya seakan-akan kita berperang melawan pihak Nazi cuma apa yang bezanya kita berperang di masa depan melawan kajahatan Helghast, teringin nak main sebagai Sarjan Rico. Black, walaupun grafiknya cantik, tapi ada kekurangan, penyampaian jalan cerita kurang menarik. Tapi gameplay adalah paling best dan paling banyak BOOM! BOOM! Efek letupan dan kemusnahan dalam game Black adalah paling syok untuk konsol PS2. 

Manakala SOCOM 3 dan Brother in Arms lebih kepada strategy shooting, cuma yang bezanya SOCOM 3 lebih moden dan third-person view, taktikal perangnya juga lebih mendalam dan menarik. Brother in Arms lebih kepada perang dunia kedua dan first-person view, taktikal perangnya pula lebih kepada taktik suppress and Flank. Aku ingat lagi teknik 4F, Find them, Fix them, Flank them, Finish them.

Aku bermain dengan PS2 aku dari umur 13 sampai la 16 tahun. Umur 17 aku dah mula upgrade ke grafik yang lebih tinggi dan cantik dengan membeli Xbox 360 sempena hadiah hari jadi aku. Kontroller Xbox 360 pula agak berbeza dengan PS2, Kontroller Xbox lebih besar sedikit dan berat dari PS2 punya. Kalau kontroller PS2 kena cucuk wayar dia kat konsol baru boleh main, Xbox lain, tak payah pakai wayar, pakai wireless dengan menggunakan bateri. Jadi, kena la beli pengecas bateri. Nak beli wayar penyambung dia mahal, tapi tak apalah, cuba benda baru. Sebab kenapa aku beli Xbox kerana aku nak cuba konsol selain dari Sony PS2. Lagipun masa tu PS3 mahal, gamenya pun mahal.

Video games pilihan aku untuk Xbox 360 kali ni ialah Spec Ops The Line, Vanquish, DOOM 3, Call of Duty World at War dan Modern Warfare 2, Fallout New Vegas dan Rainbow Six Vegas 2. Namun dalam era konsol yang baru itu, aku lihat syarikat video games dari luar negara lebih mementingkan multiplayer dan DLC (Downloadable Content), melupakan singleplayer. Tak macam game zaman PC dulu, walaupun grafik tak cantik, tapi storyline sangat menarik dan kukuh membuatkan aku ingat sampai sekarang seperti game Half-life. 

"Apa ni, pistol pun nak kena beli ke dalam DLC!?"

Rungut aku semasa aku bermain Splinter Cell Conviction. Kadang-kadang developer agak gila meletakkan harga DLC untuk sepucuk pistol! Kalau harga DLC untuk satu game tak mengapa la jugak. Lagi satu kelemahan yang aku lihat sepanjang aku ada konsol, developers takkan keluarkan games baru mereka untuk konsol lama seperti Xbox 360 dan PS3 dengan adanya kemunculan konsol PS4 dan Xbox One. Jadi, aku beralih semula ke PC kerana PC takkan pupus dan video games akan ada selalu keluarkan untuk PC.

Selepas aku habis SPM dan tamat sekolah, aku membeli game DOOM 3. Hmm, game tu agak menarik. Kita membunuh syaitan-syaitan yang cuba menceroboh masuk ke planet Marikh. Aku pernah dengar dari otai-otai sekolah menengah aku dulu, mereka kata DOOM ialah game paling best. Bila aku teringat tu, aku pun cuba download game DOOM dan DOOM 2 kat PC aku, free jer. Ternyata, game tu memang best dan mencabar, rasanya lagi susah dari DOOM 3. Storyline pun best dan aku ingat sampai sekarang. Game tu amatlah best sehinggakan aku ingin tahu siapa pencipta di sebalik game tersebut. Aku juga baru tahu DOOM ini merupakan bapa kepada semua first-person shooter dengan grafik yang mengancam pada tahun 1995, masa tu aku tak lahir lagi.

John Carmack dan John Romero serta dua orang aku tak ingat. Tunjang utama kepada game DOOM. Aku membaca dan melihat video dokumentari serta artikel tentang kisah hidup mereka semasa di ID software. Bagaimana mereka bersusah payah untuk mencipta enjin ID Tech untuk game DOOM kerana pada masa tu tenaga kerja hanya 4 orang! Memang menakjubkan. Ini membuatkan aku lagi bersemangat untuk meneruskan cita-cita aku.

Sepanjang aku cuti selama 6 bulan lebih, aku menghabiskan waktu aku di hadapan komputer, belajar mengenai programming language seperti C++, Java script, Action script dan sebagainya. Aku menggunakan software  Unity untuk mencipta game pertamaku, Hunter. Dengan adanya Google Playstore dan kecanggihan smartphone, aku dapat mencuba untuk mencipta game untuk smartphone. Pada mulanya memang pening dan susah untuk mempelajari bahasa coding tersebut, tetapi lama-kelamaan aku rasa menjadi seronok dan senang. 

"Storyline kena kuat." Kata kepada aku sendiri. Dalam mencipta game, aku selalu mengingatkan kepada diri aku supaya untuk mencipta game, jalan cerita dan gameplay perlulah menarik supaya pemain akan ingat game tu sampai bila-bila. 5 bulan projek aku akhirnya tamat, aku menjualnya di Apps store. Selepas 2 minggu, lebih satu ribu muat turun dan feedback yang positif aku dapat. Duit pun aku dapat jugak, tapi bukan itu yang aku utamakan. Yang paling aku utamakan ialah kepuasan pembeli aku terhadap permainan video aku. Aku rasa gembira dan puas hati kerana hasil karya aku membuahkan hasil.

Tahun 2014, aku memutuskan untuk masuk ke universiti yang ada kursus berkaitan multimedia design dan animation. Aku lihat The One Academy ada kursus yang aku nak. Tapi, langit tak selalu biru, matahari tak selalu cerah, selalu hujan lebat. Ibu bapa aku menghalang aku dari masuk ke kursus tersebut.

"Damir kena jadi lawyer jugak! Muktamad!" Kata ayah kepada aku. Memang pemikiran orang Malaysia macam ni ya? Nampak doktor dan peguam sebagai salah satu kerjaya yang berjaya. Dulu masa aku kecil, mak pernah cakap yang aku boleh jadi apa sahaja asalkan aku jadi orang berguna kepada masyarakat, tapi bila dah besar lain pulak ceritanya. Memang ibu bapa lebih tahu apa yang terbaik untuk anaknya, tapi kalau dah minat aku sejak suka kepada video games, takkan mereka nak halang cita-cita sebenar aku? Nampak gayanya mereka berdua memang menghalangnya. Nak tak nak, aku terpaksa akur dengan keputusan daripada ibu bapa aku. Kalau melawan pulak, nanti kata anak derhaka pulak.

Aku pernah teringat ayah aku berkata kepadaku. "Kamu ni asyik dok main game tembak jer. Nanti terpengaruh jadi ganas." Kawan aku di sekolah juga pernah berkata kat aku. "Hang ni suka buang masa main game jer." Pada pendapat aku, aku tak membuang masa rasanya. Kerja sekolah aku boleh siapkan jer, bila waktu solat, aku pergi solat. Pembahagian masa tu penting! Tentang ayah aku tu, aku boleh katakan itu sebagai tugas kita untuk mengawal nafsu dan minda kita supaya tak terpengaruh dengan apa yang kita main. Kalau kita gagal, jadilah macam Columbine High School Massacre.

Aku juga banyak belajar perkara-perkara yang bagus sepanjang aku bermain permainan video. Aku boleh belajar bahasa Inggeris dengan baik, malah, aku dapat tingkatkan cara percakapan aku dalam bahasa inggeris dan juga bahasa asing seperti bahasa Jepun. Call of Duty 1, 2, 3 dan World at War serta Medal of Honor menarik minat aku terhadap subjek Sejarah yang pada dulunya aku tak suka sebab membosankan, yelah sebab kena baca buku teks. Dulu aku memang takut nak tengok darah, tapi lepas aku banyak sangat main tembak, aku dah terbiasa tengok darah tu, agak pelik tapi itulah kenyataannya.

Aku menjejakkan kaki aku ke universiti.... Ahh aku tak ingat! Dengan hati yang layu, mengambil kursus yang aku tak minat menambahkan lagi kelayuan menjadi kusam. Ibu bapa tersenyum di hadapan rakan-rakannya kerana aku 'akan' jadi peguam. "Show off." Kata aku, ibu bapaku memang seperti mahu menunjuk-nunjuk kepada rakannya. Mereka berdua tak tahu aku tak suka keputusan ni. Sedang aku berada di dalam sana, aku masih belajar programming language untuk projek aku seterusnya, game 2D iaitu Searching for Islam. Ia seperti game pengembaraan mencari teka-teki mengenai sejarah Islam, kisah hidup nabi dan rasul serta empat orang khalifah yang disanjung tinggi. 8 bulan aku berjaya siapkan projek tersebut bersama-sama dengan rakan universiti aku yang turut membantu aku dari segi musik dan voice acting. Game tu berjaya dijual di gaming store untuk PC dan smartphone secara percuma.

Alhamdullilah, aku dapat banyak feedback yang positif dari pembeli. Mereka banyak mengatakan mereka lebih mudah untuk ingat mengenai Islam dengan cara bermain permainan ini daripada menghadap buku. Mereka juga kata game ni sesuai untuk semua peringkat umur. Sepanjang aku belajar di sana, walaupun aku tak suka kursus tu, tapi nasib baik di kelilingi oleh rakan yang sentiasa memberi semangat kepada aku untuk teruskan perjuangan. Nasib aku sejarah, kalau tak dah lama aku tinggalkan tempat tu.

Sepanjang aku belajar kat sana, aku berjumpa dengan dua orang rakan yang sama nasib dengan aku. Joshua Chin dari kursus sama dengan aku dan Siva Kumar dari kursus accounting, mereka berdua mempunyai minat yang sama macam aku, suka buat video game tapi ditentang masak-masak oleh kedua-dua orang tua. Sejak tu, aku berkawan rapat dengan mereka berdua.

"Eh korang, korang nak tak masuk pertandingan mencipta video game. Ini anjuran dari syarikat video game luar negara."

"Nak! Tapi kalau menang kita dapat apa?"

"Kita dapat pergi ke luar negara, kerja dengan mereka!"

"Wow!!!"

Perkara tu membuatkan aku dan Joshua berasa teruja kerana ini merupakan peluang untuk aku, Siva dan Joshua untuk menjadi seorang game designer. Kalau di luar negara game designer dihargai tetapi tidak di Malaysia, mungkin benda ni masih baru kepada orang Malaysia, mungkin sebab tu game designer tempatan lari ke luar negara kerana di sana senang nak cari makan daripada sini. Atau mungkin di Malaysia ni, pihak atasan lebih suka menggunakan wang orang ramai untuk main undi, main wayang depan orang ramai daripada menabur bakti semula kepada orang ramai.

Pertandingan tu dianjurkan oleh syarikat United People Entertainment. Ia memerlukan 3 hingga ke 4 orang untuk menyertai pertandingan itu. Kami bertiga sudah cukup syarat, tapi masalahnya, game apa yang kita nak buat? Tiba-tiba Siva memberikan idea.

"Damir, dulu kau ada buat game searching for Islamkan?"

"Ada, kenapa?" Bingung aku.

"Apa kata kita gunakan idea kau, tapi kita ubah sedikit. Kita tunjukkan game mengenai budaya-budaya yang ada kat Malaysia. Amacam, ok tak?" Tanya Siva sambil tersenyum.

"Bagus jugak tu." Balas Joshua sambil memandang ke arahku.

"Hebat, ok mari kita lakukan!" Sahut aku dengan penuh semangat.

Untuk projek kali, aku tak keseorangan, aku ditemani oleh Siva dan Joshua serta bersama-sama dengan rakan aku yang lain. Aku meminta pertolongan dari rakan-rakan yang datang dari lain-lain negeri untuk ceritakan apa yang menarik tentang negeri-negeri mereka. Aku perlukan setiap informasi tersebut sebelum aku masukkan ke dalam projek. Aku akan menguruskan programming language, Siva untuk storyline dan gameplay mechanic dan Joshua pula untuk pembinaan karakter.

Pelbagai rintangan yang kami bertiga lalui, sedang aku, Siva dan Joshua fokus terhadap projek kami. Kami bertiga juga perlu fokus dalam pelajaran dan exam semester terakhir. Memang sibuk waktu, demi mengejar cita-cita sebenar, kami bertiga berkerja lebih masa. kopi dan Nescafe selalu di atas meja. Sebelum exam semester terakhir bermula, kami sempat menghabiskan projek tersebut dan menghantarnya ke laman web United People Entertainment. Perasaan gembira dan lega bersinar di hati.

"Yes, kita berjaya lakukannya." Kata Joshua dengan nada gembira sambil melepaskan high five ke arah tangan aku dan Siva.

"Sekarang, kita kena tunggu keputusannya. Harap-harap kita menang." Kata aku.

Selepas aku menamatkan pelajaran aku di universiti tersebut. Di majlis graduasi, Joshua dan Siva datang kepada aku. Aku nampak Joshua dan Siva seperti sangat gembira. Aku fikir masa tu, mereka gembira sebab habis belajar kat mereka tak suka.

"Damir, kita menang!!!"

"Apa? Aku tak faham?"

"Kita menang pertandingan cipta video game tu?"

"What!!! Hahah."

"Bukan tu jer, game kita tu akan dijual untuk PC ke seluruh dunia!"

"Whoa!!!"

Masa tu rasa sangat seronok tak ingat dunia, malah rasa lagi seronok dari dapat sijil kat majlis graduasi. Lima hari selepas tu, aku, Joshua dan Siva diterbangkan ke Switzerland. Aku tahu ayah nampak macam tak puas hati, mak nampak ok jer. Tapi aku ingat kata-kata atuk aku. "Jangan biarkan sesiapa pun menghalang mimpi indah Damir, termasuk orang yang paling rapat dengan Damir."

Tempat tinggal kami sudah disediakan, tetapi untuk sementara waktu. Jadi kami kena cari rumah sendiri secepat mungkin. Keesokan harinya, kami bertiga tiba di pejabat United People Entertainment, kami bertiga diraikan dan rasa gembira kerana pada hari itu kami boleh mula berkerja, mula mencipta permainan video baru. Permainan video kami, Find Malaysia menjadi perbualan hangat di media masa dan sosial, namun berita tentang kejayaan permainan video kami tu tak pernah sampai ke negara Malaysia. Mungkin tak banyak orang mengetahuinya atau mereka memang tak nak ambil tahu tentang benda yang mereka katakan tidak menjamin masa depan.

Aku, Joshua dan Siva menjadi satu pasukan yang kuat dan lama dalam membina video game yang berjaya sehinggalah Siva meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah otak pada 23 Julai 2030. Aku dan Joshua berasa sedih kerana dia bukan sahaja seorang kawan dan rakan sekerja, tetapi dia bagaikan seperti adik-beradik kami. Susah senang hidup bersama di bandar Zurich. Sejak tu, keadaan tidak lagi sama seperti dahulu. Lebih teruk lagi, syarikat United People Entertainment bakal bankrap dalam masa beberapa bulan. Banyak pekerja yang sudah meletakkan jawatan.

Akhirnya aku dan Joshua juga memutuskan untuk meletak jawatan setelah 15 tahun berkerja di syarikat tersebut. Kami berdua kembali ke Malaysia setelah sekian lama kami tak balik. Kami berdua pulang ke rumah keluarga masing-masing. Ayah aku sudah tua, begitu juga dengan ibuku. Aku bersalam, mencium dahi dan kedua-dua belah pipi serta memeluk kedua-dua orang tuaku. Aku amat rindu kepada mereka berdua. 15 tahun, sungguh lama.

"Ayah, Damir minta ampun sangat-sangat. Masa tu, Damir masih lagi marahkan ayah." Nangis aku dalam keinsafan.

"Ayah juga minta maaf sebab halang cita-cita kamu." Ayah juga menangis kerana dia sedar akan kesalahannya.

"Damir mungkin tak tahu..." Ibu bersuara.

"Tahu pasal apa?"

"Disebabkan permainan video yang kamu cipta tu, banyak pelancong yang nak datang ke Malaysia. Disebabkan Damir jugalah, ramai anak muda cuba nak jadi macam kamu. Damir adalah idola kepada mereka." Ujar Ibu yang sedang duduk di atas kerusi kayu jati.

"Ya ke?"

"Ya..."

Tak sangka, aku jadi idola kepada anak muda yang ada minat macam aku.

"Kerajaan juga dah mula ada minat untuk meluaskan kerjaya game designer, semuanya sebab kamu, Damir... Tahniah Damir, ayah bangga dengan kamu. Kalau ayah tahu kamu akan berjaya macam ni. Ayah dah lama biarkan kamu belajar kat tempat yang kamu nak." Ujar ayah dengan tangisan senyuman di bibirnya.

Aku habiskan masa terluang dengan ibu bapaku selama tiga bulan. Selepas itu aku bertemu semula dengan Joshua di kafe.

"So... sekarang kita nak buat apa?" Tanya Joshua.

"Kita buka syarikat game kita sendiri, bawa masuk fresh faces ke dalam syarikat kita." Cadang aku.

"Idea yang bagus ke tu?"

"Mestilah bagus. Eh, kau tak ingat ke janji kita kat Siva yang kita berdua akan buka syarikat game sendiri."

"Baiklah, kita akan buka, demi Siva."

"Demi kawan kita."

DSJ Games dibuka oleh aku dan Joshua. Kami mula bawa masuk muka-muka baru untuk bagi mereka membina permainan video. Sejak 10 tahun syarikat itu ditubuhkan, syarikat mula berkembang di luar negara, London, Rusia, Amerika Syarikat dan enam buah lagi negara. Dah macam pelbagai jenis video games syarikat kami berdua dah cipta. Aku dan Joshua akan kekal bersama-sama mempertahankan dan memperkukuhkan lagi syarikat DSJ Games.












No comments:

Post a Comment